Ahmad Zahid Ziarah Sumud Nusantara Command Centre, Seru Solidariti Malaysia Untuk Gaza

SEPANG, 26 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam telah menziarahi Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM Central Warehouse, Sepang yang berperanan sebagai pusat kawalan strategik bagi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2025 menuju Gaza.

Misi bersejarah itu melibatkan delegasi dari 45 negara, termasuk 34 sukarelawan kemanusiaan Malaysia yang kini belayar meredah lautan Mediterranean bagi menyampaikan mesej dunia menentang kekejaman serta sekatan haram rejim Zionis terhadap Gaza.

Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid menerima taklimat daripada Ketua Pengarah Command Centre merangkap CEO MAPIM, Datuk Dr. Sani Araby, bersama gabungan NGO seperti Cinta Gaza Malaysia dan Cinta Salam Malaysia.

Beliau turut berpeluang berhubung secara langsung melalui panggilan video dengan semua 34 wira kemanusiaan Malaysia yang diketuai oleh Nadir Al-Nuri. Walaupun berdepan risiko serangan dron dan gangguan komunikasi, katanya wajah mereka tetap memancarkan keberanian serta tekad yang tidak pernah luntur.

“Malaysia bangga dengan keberanian anak-anak bangsa ini. Dunia sedang menyaksikan bagaimana mereka menulis sejarah demi Palestin,” kata Ahmad Zahid.

Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk terus berdoa, menyebarkan maklumat sahih serta mengelak daripada terpedaya dengan propaganda rejim Israel.

“Marilah kita bersama-sama menjadi sebahagian daripada gelombang solidariti global untuk membebaskan Palestin dan menghentikan perang di Gaza,” tambahnya.
Maklumat terkini mengenai misi tersebut boleh diikuti di laman rasmi www.sumudnusantara.com.UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO