Pemuda UMNO Tetap Konsisten, Dasar Tekan Rakyat Dibantah – Kamil
KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pemuda UMNO Negeri Pahang menolak tuduhan dangkal yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, tunduk kepada naratif Pas dalam isu Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata Pemuda UMNO tetap konsisten apabila dasar yang menekan rakyat maka perkara berkenaan akan dibantah dan begitu jugalah sebaliknya demi kepentingan rakyat.
“Pemuda UMNO tetap konsisten apabila ada dasar yang menekan rakyat, kita lawan. Kalau baik, kita sokong. Kita tak tunduk pada sesiapa, hanya tunduk kepada kepentingan rakyat. Itu prinsip kami, itu maruah kami.
“Nak cakap biar jelas kerana Pemuda UMNO berdiri atas kaki sendiri. Kami ibarat sebuah parti dalam parti, ada pendirian, ada prinsip, ada maruah. Apa yang kami bawa bukan ikut cakap Pas, bukan ikut telunjuk sesiapa, tapi suara anak muda dan keresahan rakyat. Jangan samakan Pemuda UMNO dengan mana-mana pihak yang hidupnya sekadar ‘kena cucuk hidung’ dan ikut saja arahan bos parti tanpa daya fikir sendiri,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Beliau seterusnya menambah politik matang bukannya menjadi ‘pak turut’ sebaliknya mengambil sikap terbuka dan mempunyai pendirian yang tersendiri.
“Kalau Pemuda UMNO bertegur dengan Pemuda Pas dalam isu rakyat, itu namanya keterbukaan dan keberanian politik. Jangan sempitkan minda dengan tuduhan kononnya ada pakatan tersembunyi.
“Politik matang bukan tentang jadi pak turut, tapi berani duduk semeja demi bela rakyat. Kalau itu pun tak mampu faham, lebih baik duduk diam. Jangan mencari politik murahan,” tambahnya lagi.- UMNO Online
