TVET Tahfiz Perluas Peluang Kerjaya Pelajar – Dr Azmir

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET), Dr Azmir Mohd Yunus menyambut baik aspirasi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi penekanan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar tahfiz.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pelajar tahfiz turut memiliki kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk kerjaya atau keusahawanan di luar bidang agama.

“Banyak kali saya mendengar ucapan TPM berkenaan TVET Tahfiz ini, saya melihat aspirasi beliau supaya pelajar-pelajar tahfiz ini ada kemahiran.

“Sekiranya tidak bekerja dalam bidang agama pun, mereka boleh manfaatkan kemahiran tersebut untuk kerjaya dan ekonomi mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada #HitamPutihKelabu: Betul Ke TVET Hanya Untuk Pelajar Gagal SPM? yang disiarkan di Facebook UMNO Online pada Rabu, turut hadir Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez.

Mengulas lanjut, Dr Azmir berkata pendekatan itu bukan bertujuan menidakkan fungsi institusi tahfiz, sebaliknya memperkasa pelajarnya untuk berdikari melalui pendedahan kepada latihan kemahiran.

“Seperti yang disebut TPM, takkan semua nak jadi imam… ada juga yang perlu mencari sumber pendapatan. Jadi melalui kemahiran yang ada, mereka boleh buka perniagaan sendiri atau bekerja dalam bidang teknikal yang sesuai.

“Bidang ini juga boleh diperluaskan ke komuniti luar bandar kerana institusi tahfiz ada di mana-mana, manakala TVET kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar,” jelasnya.

Tambah beliau, pengintegrasian TVET dengan institusi tahfiz mampu membuka ruang lebih inklusif dalam memperkasa modal insan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO