Ubah Persepsi, TVET Platform Kerjaya Berpendapatan Lumayan
KUALA LUMPUR, 25 Sept – EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez menegaskan bahawa pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) bukan lagi laluan kedua, malah telah terbukti mampu melahirkan graduan yang berjaya dengan pendapatan tinggi.
Katanya, pandangan serong bahawa TVET hanya untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik perlu ditolak dan dibetulkan dengan fakta serta kisah kejayaan sebenar.
“Pandangan serong yang mengatakan TVET ini untuk mereka yang kurang berjaya dalam pendidikan perlu kita tepis dan perlu ditunjukkan dengan bukti.
“Buktinya ramai produk TVET bukan sahaja berjaya mendapat pekerjaan stabil, tetapi juga meraih gaji tinggi berbanding mereka yang mengikuti laluan konvensional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada #HitamPutihKelabu: Betul Ke TVET Hanya Untuk Pelajar Gagal SPM? yang disiarkan di Facebook UMNO Online malam tadi, turut hadir Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Azmir Mohd Yunus.
Mengulas lanjut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling itu berkata antara contoh kejayaan TVET yang dapat dilihat antaranya ialah jurukimpal wanita pertama negara dan graduan Institut Kemahiran Mara (IKM) yang kini bekerja di luar negara.
“Sukses stori produk TVET ini banyak yang perlu kita tonjolkan kepada masyarakat.
“Bahawa graduan TVET benar-benar diterima industri dan pekerjaan mereka mendapat gaji setimpal dan lumayan,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut sama menyeru kesemua pemimpin akar umbi untuk terus memperkasakan promosi dan kesedaran mengenai potensi besar TVET sebagai platform pembangunan kemahiran dan kerjaya masa depan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan persepsi khususnya di kawasan luar bandar, bagaimana kita hendak menarik mereka untuk menyertai TVET.
“Ada 1,400 institusi TVET, 12 kementerian dan swasta. Pilihan pun banyak, pelbagai jenis modul… pelbagai latar belakang pun boleh ceburi,” katanya lagi. – UMNO Online
