YPM & UMNO Beaufort Hulur Bantuan Mangsa Banjir, Ringankan Beban Rakyat
BEAUFORT, 25 Sept – Usaha murni membantu mangsa banjir di Parlimen Beaufort terus diperkasa apabila Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Seri Ismail Mohamed Said turun padang bersama rombongan pegawai-pegawai MARA bagi menyampaikan bantuan kepada pelajar dan keluarga yang terjejas baru-baru ini.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua UMNO Bahagian Beaufort merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat bersama Ahli Parlimen di sini, Datuk Siti Aminah Aching, serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort empat peringkat.

Awang Aslee berkata, keprihatinan YPM terhadap kebajikan anak-anak Beaufort amat dihargai dan menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk bangkit meneruskan persekolahan walaupun berdepan cabaran bencana.
“Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana anak-anak di Beaufort tidak dilupakan. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga dan memberi peluang kepada mereka belajar dengan lebih selesa sehingga beroleh kejayaan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, bantuan yang diagihkan khusus kepada pelajar yang terjejas banjir ini diharap akan dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan pembelajaran.
Selepas menyampaikan bantuan di Kg. Kubu Beaufort, rombongan kemudiannya bergerak ke Kg. Pintas untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sebuah rumah yang turut terkesan banjir apatah lagi ketua isi rumah berkenaan menghidap penyakit strok.
Awang Aslee menegaskan, usaha seperti ini bukan sahaja membawa bantuan segera, malah mencerminkan nilai kebersamaan dan semangat gotong-royong yang sentiasa diutamakan UMNO/BN dalam membela nasib rakyat.

“Banjir ini menguji kesabaran rakyat, tetapi dengan adanya kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi, sukarelawan dan sahabat-sahabat kita, insya-Allah beban yang ditanggung dapat diringankan,” tambah beliau.
Turut sama ialah Ketua Sekretariat YPM Negeri Sabah, Ummi Nabilah Jamal bersama rakan-rakan strategik termasuk Rakan NADMA Parlimen Beaufort, Sahabat YPM, Skuad YPM serta Skuad Sukarelawan BN Beaufort. – UMNO Online
