RUU URA: Penubuhan Agensi Baharu Penting Untuk Kawal Selia – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berpandangan bahawa penubuhan sebuah agensi baharu seperti Urban Renewal Authority penting untuk mengawal selia pembangunan tanah dari pelbagai aspek.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata, kerajaan wajib menggerakkan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) atau URA untuk mengelakkan mana-mana pihak cuba ‘menangguk di air yang keruh’.

“Pembangunan semula bandar melalui Urban Renewal Act (URA) wajib digerakkan oleh kerajaan.

“Justeru, penubuhan sebuah agensi baharu seperti Urban Renewal Authority amat penting bagi memantau, mengawal selia dan memastikan setiap pembangunan tanah memberi manfaat sebenar kepada rakyat, bukan sekadar keuntungan pemaju,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada 23 September media melaporkan Konvensyen Melayu Bandar yang akan mengkhususkan kepada perbincangan mengenai Akta PSB atau URA bakal dianjurkan pada 3 Oktober ini.

Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konvensyen tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan.

Pada 28 Ogos lalu, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.

RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO