Akta URA: UMNO Tidak Pernah Meninggalkan Perjuangan Orang Melayu – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 25 Sept – UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan orang Melayu terutamanya dalam melibatkan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) atau URA, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, rancangan pembangunan semula bandar ini telah dimulakan pada tahun 1972 melalui Rancangan Malaysia ke-2 (RMK2).

“Saya rasa mesyuarat ini memang penting untuk mengupas perkara-perkara yang telah dibangkitkan sekian lama berkenaan Akta PSB ataupun URA ini. Harapan kita adalah sesiapa sahaja pihak berkepentingan yang perlu diberikan kependudukan, hak mereka mestilah dipulangkan.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, pembangunan semula bandar telah dimulakan pada zaman Tun Abdul Razak di era RMK2 tahun 1972. RMK ini menitikberatkan penyusunan semula demografi orang Melayu di bandar-bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur.

“Banyak bajet yang diletakkan untuk pembangunan semula ini bagi melihat kependudukan bandar ini tersusun. Orang Melayu yang duduk secara setinggan ini mestilah kita pindahkan ke tempat yang lebih selesa, diberikan tanah dan prasarana secara percuma, disubsidikan oleh kerajaan. Rumah-rumah flat itu dijual dengan harga yang murah kepada orang-orang Melayu,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, tanah yang telah dibangunkan oleh pihak pemaju mestilah diberikan semula haknya kepada orang-orang Melayu bandar.

“Bukan hanya orang Melayu mendapat manfaat ini pada ketika itu… di Kepong dan Jinjang, orang Cina pun dapat manfaatnya juga. Jadi, untuk pemindahan rumah-rumah setinggan ini adalah perancangan awal dari zaman Tun Abdul Razak.

“Jadi, apabila kita melihat kedaifan rumah-rumah pangsa ini, sudah tentunya kita perlu melangsungkan kehidupan yang lebih selesa untuk penduduk bandar. Tetapi ‘the last piece of land’ yang telah kita agihkan kepada penduduk yang mempunyai pendapatan tidak tinggi, perlu dipulangkan semula kepada generasi-generasi seterusnya.

“Setiap generasi mesti ada kategorinya. Jadi ‘the last piece of land’ untuk dibangunkan ini mestilah dipulangkan kepada haknya semula dan tidak bolehlah ia menjadi satu tanah untuk diangkat serta dikaut untung oleh mana-mana pihak,” katanya lagi.

Tambahnya, pihak kerajaan perlulah melaksanakan pembangunan bandar ini dengan niat murni tanpa memberikan keuntungan melampau kepada mana-mana pemaju.

“Jadi, pada satu ketika dahulunya ada satu cadangan agar pembangunan semula bandar ini untuk diberikan sepenuhnya kepada syarikat yang ‘swasta driven’. Apabila syarikat swasta ini… apabila kita bermain dengan ‘capitalist game’, sudah semestinya keuntungannya akan melampau-lampau.

We cannot afford that because tanah-tanah ini telah digazetkan untuk pembangunan untuk rakyat miskin pada 1972 dan ia mestilah dipulangkan kepada golongan-golongan ini semula.

“Kita sebagai kerajaan kena bantu untuk melaksanakan perkara ini dengan niat yang murni tanpa ada mana-mana pihak yang mengaut keuntungan berlebihan. Lebih penting, apa sahaja kita buat ini janganlah menimbulkan masalah di kemudian hari untuk penghuni-penghuni yang membeli rumah ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO tetap konsisten memperjuangkan hak-hak orang Melayu meskipun bersama dengan sesiapa sahaja untuk membentuk kerajaan.

“Perkara paling penting yang saya nak nyatakan kepada rakyat di luar sana ialah UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan orang Melayu. Daripada dulu lagi kita membuat pembangunan semula termasuklah mengagihkan tanah bukan hanya di bandar malah di kampung juga… dan ia diteruskan sehingga ke hari ini.

“Waima dengan siapa pun UMNO, kita tetap memperjuangkan hak-hak orang Melayu. Maka janganlah berfikiran bercakap di luar kononnya merekalah (Perikatan Nasional) yang paling memperjuangkan Melayu. Tidak.

“Pada pandangan saya UMNO tetap konsisten untuk meletakkan hak orang Melayu sebagai satu kepentingan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO