Peranan Menteri-menteri UMNO Serlahkan Keberkesanan Kerajaan Perpaduan – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan bahawa kehadiran dan peranan aktif menteri-menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan dasar serta keberkesanan penyampaian kerajaan hari ini.

Beliau berkata, prestasi menteri-menteri UMNO yang begitu komited dalam menjalankan tanggungjawab bukan sahaja menyerlahkan kredibiliti parti, malah menjadikan kerajaan hari ini seolah-olah dipimpin sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN).

“Prestasi menteri-menteri UMNO membantu kerajaan, seolah-olah kerajaan ini adalah kerajaan BN. Kita tengok bagaimana sibuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi namun tetap turun padang minggu lalu ke Sabah untuk memastikan rakyat di sana terbela ketika musim banjir.

“Prestasi kerajaan ini banyak bergantung daripada menteri-menteri UMNO BN khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid. Kalau tiada mereka seolah-olah tidak wujud Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Sementara itu Dr Azhar turut sama menyambut baik hasrat kerajaan berkenaan cadangan penubuhan satu daerah satu pusat pendidikan untuk kanak-kanak autisme seperti diumumkan oleh Ahmad Zahid

Katanya inisiatif tersebut memberi harapan besar kepada ibu bapa yang selama ini berdepan kekangan kewangan dan keterbatasan akses terhadap pendidikan khas bagi anak-anak istimewa mereka.

“Hari ini kalau ia berlaku seperti mana berlaku di negara eropah, bagaimana menjaga anak-anak autisme, mereka ini bukan kurang cerdik tetapi mempunyai kemahiran tertentu, contohnya ada yang pakar kendali computer, muzik.

“Tetapi bagi masyarakat Malaysia merekan dianggap orang kurang upaya (OKU) dengan merendahkan daya intelektual, padahal ia merupakan anugerah tuhan yang istimewa dalam bidang-bidang tertentu.

“Jadi pengumuman TPM mengenai satu daerah satu autism dialu-alukan, kebanyakkan ibu bapa yang mendengar ini amat lega, sudah tentu daripada segi kos, tentulah kerajaan buat yang terbaik… tidak banyak duit hendak keluar bayar swasta dan sebagainya,” ujar beliau.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyasarkan untuk membangunkan sebuah tabika khas bagi kanak-kanak autisme di setiap daerah menjelang tahun 2027.

Beliau berkata, sasaran awal adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu tabika autisme di setiap negeri sebelum diperluaskan ke peringkat daerah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO