RUU URA: UMNO Fokus Cari Solusi, Bukannya Retorik Laksana Himpunan – Aliff Hilmi

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan pendirian untuk tidak menyertai himpunan bantahan anti Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) yang dianjurkan Pas.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamad Aliff Hilmi berkata, Pemuda UMNO menolak pelawaan itu secara terhormat kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian usaha mencari penyelesaian yang berkesan terhadap akta URA ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil pendirian tegas untuk menolak pelawaan Pas menyertai himpunan bantahan akta Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) secara terhormat kerana bagi kami, fokus utama adalah mencari solusi yang berkesan dan bukannya sekadar melakukan sesuatu ‘seperti melepaskan batuk di tangga’.

“Penyelesaian lebih penting daripada retorik dan rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan mainan politik tanpa sebarang hala tuju yang jelas.

“Pemuda UMNO sentiasa konsisten memperjuangkan suara rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah di bandar tetapi perjuangan ini mestilah berasaskan fakta, perbincangan ilmiah dan cadangan yang membuahkan hasil,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Aliff yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera menjelaskan atas sebab itu UMNO melalui jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan menganjurkan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada 3 Oktober ini.

“Konvensyen ini akan menghimpunkan pakar, peguam, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat untuk bersama-sama mengemukakan cadangan lebih adil dan menyeluruh kepada kerajaan.

“Kami ingin menegaskan bahawa pintu perbincangan sentiasa terbuka. Justeru, kami menjemput Pas untuk turut hadir bersama dalam konvensyen ini agar suara kita lebih kuat dan usaha menolak perkara yang merugikan rakyat dapat dilakukan secara bersepadu dengan pendekatan yang lebih bermaruah dan berkesan,” katanya lagi.

Terdahulu, UMNO Online melaporkan Konvensyen Melayu Bandar yang akan mengkhususkan kepada perbincangan mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau URA bakal dianjurkan pada 3 Oktober ini.

Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konvensyen tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk memberi pandangan seterusnya mencipta satu resolusi terhadap segala isu yang dibangkitkan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO