ADUN Sg Lui Serah Sumbangan IPT Dan Kebajikan, Perkukuh Kesejahteraan Rakyat
JEMPOL, 24 Sept – Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan kebajikan yang berlangsung dalam suasana mesra dengan kehadiran penerima bersama ahli keluarga masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Datuk Mohd Razi Mohd Ali berkata kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak memberi dorongan dan manfaat kepada penerima. Insya-Allah, usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan masyarakat,” katanya ringkas dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.
Menurutnya, seramai 69 pelajar IPT menerima sumbangan sebagai galakan dan dorongan untuk meneruskan pengajian mereka.
“Selain itu, lima orang pelajar turut menerima bantuan kewangan IPT Negeri Sembilan, manakala lima orang penerima lain menerima sumbangan kerusi roda bagi kegunaan harian.
“Turut disampaikan sumbangan kepada seorang belia yang baru melangsungkan perkahwinan sebagai tanda prihatin,” katanya.
Tambahnya lagi, majlis tersebut juga menjadi bukti keprihatinan kepimpinan DUN Sungai Lui dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menyokong pembangunan komuniti setempat. – UMNO ONLINE
