Pembangunan Semula Bandar Bukan Semata Kemajuan Fizikal, Pelaburan

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa isu pembangunan semula bandar bukan sekadar berkisar tentang kemajuan fizikal dan pelaburan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini kerana ia turut melibatkan soal pemilikan, maruah komuniti asal serta pemeliharaan warisan Melayu di bandar.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menghadiri BN Forum Siri ke-8: Urbanisasi & URA – Survival Melayu Bandar yang berlangsung malam tadi, yang memberi fokus terhadap pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) dari perspektif kelangsungan masyarakat Melayu di kawasan bandar.

“Malam tadi, saya hadir ke BN Forum yang membedah isu urbanisasi dan URA, khususnya dari perspektif survival Melayu bandar.

“Forum ini bukan sekadar wacana akademik, tetapi ruang bicara untuk kita bersama menilai dasar dari pelbagai perspektif, khususnya kaca mata rakyat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan panelis yang menyertai forum berkenaan termasuk Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Pasukan Khas UMNO bagi RUU URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; penganalisis, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dan pakar perancangan bandar, Dr Shuhana Shamsuddin.

Katanya, perbincangan seperti itu penting dalam membuka jalan ke arah dasar yang lebih adil, inklusif serta berpaksikan kesejahteraan rakyat.

“Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan forum ini kerana terus menyediakan ruang ilmu dan perbincangan matang untuk kita memperkukuh agenda bersama,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO