Pendekatan Ketua Pasukan Khas UMNO Langkah Tepat Perkukuh RUU URA – Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman menyambut baik pendekatan Ketua Pasukan Khas UMNO merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) yang menekankan kepentingan dialog terbuka dan proses konsultasi yang telus.
Katanya, ini adalah satu langkah yang tepat dalam memastikan RUU URA benar-benar mencerminkan keperluan semasa dan aspirasi rakyat Malaysia.
“Kita perlu mengelakkan pendekatan tergesa-gesa, sebaliknya memberi ruang kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kebimbangan dan cadangan penambahbaikan RUU URA ini.
“Hanya dengan keterlibatan menyeluruh, kita dapat memastikan RUU URA menjadi satu dasar yang adil, berkesan dan mampan untuk generasi akan datang.
“Ia adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap aspek dalam RUU URA ini diperhalusi secara teliti, inklusif dan menyeluruh,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Abdul Razak yang juga salah seorang individu terlibat secara langsung dalam bidang perancangan bandar, menegaskan RUU itu tidak boleh digubal atau diluluskan secara terburu-buru tanpa rundingan menyeluruh bersama pihak berkepentingan.
“RUU URA bukan sekadar dokumen perundangan ia adalah cerminan kepada masa depan pembangunan semula kawasan bandar yang akan menyentuh kehidupan ribuan rakyat.
“Sekiranya ia diluluskan tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk penduduk, pemilik hartanah, penggiat industri, dan badan-badan professional, kita berisiko mencetuskan ketidakadilan dan ketidakseimbangan dalam pelaksanaannya.
“Apa yang penting, pembangunan semula bandar bukan sahaja soal kemajuan dan pelaburan, tetapi juga menyentuh soal hak pemilikan, maruah komuniti asal, serta warisan Melayu di bandar yang mesti dipertahankan.”
Kata Abdul Razak lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting memastikan aspirasi rakyat agar RUU URA ini diselesaikan secara holistik dan selaras dengan keperluan sosial, ekonomi dan budaya.
“Ini menunjukkan betapa seriusnya UMNO dan BN memperincikan kebimbangan dan aspirasi rakyat agar RUU URA ini dapat memastikan bahawa segala permasalahan bandar di masa akan datang akan dapat diselesaikan secara lebih holistik dan selaras dengan keperluan sosial, ekonomi dan budaya, sebagaimana yang digariskan di dalam New Urban Agenda (NUA) sebuah kesepakatan global yang di adaptasi pada tahun 2016 di United Nation (UN) habitat tentang Perumahan dan Perbandaran.
“NUA adalah blueprint yang menetapkan ‘standard global’ untuk pembangunan bandar yang berdaya maju, bertujuan untuk menciptakan pertempatan yang berdaya huni, inklusif, dan efisyen melalui perancangan, rekabentuk, dan pertadbiran bandar yang lebih sistematik,” jelasnya.
Beliau juga menyeru semua peserta sesi libat urus pada Konvensyen Melayu Bandar kelak akan dapat memanfaatkan peluang sepenuhnya yang ada serta melontarkan pandangan dalam perbincangan yang akan diadakan.
“Saya menyeru agar semua peserta sesi libat urus dan juga Konvensyen Melayu Bandar yang akan berlangsung pada 3 Oktober ini, mengambil peluang untuk menyumbang secara aktif dalam sesi perbincangan yang bakal berlangsung nanti,” ujarnya.
Pada 3 September lalu, UMNO telah mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU URA.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Pasukan Khas tersebut bertanggungjawab untuk meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU URA sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar. – UMNO Online
