TSGP: Shafie Cuba Lepas Tangan, Jawapan Timbulkan Lebih Banyak Persoalan – Raime Unggi
TENOM, 23 Sept – Ketua Bahagian UMNO Tenom merangkap ADUN Dilantik, Datuk Raime Unggi, menegaskan kenyataan terbaru Datuk Seri Shafie Apdal mengenai Projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) hanya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Menurut beliau, Shafie cuba melepaskan tangan dengan mendakwa projek itu dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan, seolah-olah bukan tanggungjawabnya, tetapi dalam masa yang sama mengakui kerajaan negeri ketika itu “terpaksa membayar balik pinjaman berbilion ringgit daripada China.”
“Soalannya mudah, bagaimana mungkin sebuah kerajaan negeri perlu membayar balik pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan? Jika benar, mana bukti rasmi? Atau adakah Shafie hanya memberi alasan kabur untuk mengalih perhatian rakyat daripada hakikat bahawa beliau gagal mempertahankan kepentingan Sabah?” soal Raime.

Beliau menegaskan, rakyat berhak tahu butiran jelas berhubung dakwaan itu termasuk jumlah sebenar yang dibayar, bila pembayaran dibuat dan melalui akaun mana.
“Saya cabar Menteri Kewangan Sabah hari ini untuk menjelaskan secara telus kepada rakyat, adakah Sabah pernah membayar walau satu sen bagi pinjaman projek TSGP ini?”
Raime berkata, kenyataan Shafie jelas bercanggah apabila di satu sisi beliau mengaku tahu mengenai pinjaman berbilion ringgit, tetapi di sisi lain menolak tanggungjawab dengan alasan ia keputusan Persekutuan.
“Hakikatnya, pada tahun 2018 ketika projek TSGP dibatalkan, Shafie ialah Ketua Menteri. Beliau mempunyai ruang, kuasa dan platform untuk mempertahankan kepentingan Sabah. Tetapi apa yang berlaku? Beliau akur, tunduk dan hanya pandai menuding jari selepas tidak lagi berkuasa,” tegasnya.
Tambah beliau, lebih malang lagi rakyat Sabah kini menanggung akibat apabila berdepan gangguan bekalan elektrik berulang di Pantai Timur.
“Shafie tidak boleh terus bersembunyi di sebalik alasan ‘itu keputusan Persekutuan’. Ketika rakyat perlukan seorang Ketua Menteri yang berani, mengapa beliau memilih untuk mengalu-alukan keputusan itu?” ujar Raime.
Beliau juga mendesak Shafie tampil dengan dokumen rasmi sekiranya benar wujud pembayaran balik seperti yang didakwa.
“Rakyat layak menerima jawapan jelas, bukan alasan kabur. Jika Shafie berani, buktikan. Jika tidak, jangan terus memperbodohkan rakyat dengan kenyataan separuh masak,” katanya lagi. – UMNO Online
