UMNO Perkukuh Solidariti Hadapi Cabaran Politik Semasa – Ab Rauf
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Pertemuan khas Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri malam tadi menjadi wadah penting untuk memperkukuhkan solidariti dalam parti.
Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesatuan, kebersamaan dan semangat perjuangan yang lahir daripada setiap lapisan ahli.

“Kekuatan sebenar UMNO sentiasa terletak pada kesatuan, kebersamaan dan semangat perjuangan yang lahir daripada setiap lapisan ahli,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Beliau menegaskan, kesepaduan yang kukuh antara kepimpinan pusat dan negeri adalah asas untuk memastikan UMNO sentiasa relevan dan bersedia menghadapi cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang.
“Pertemuan ini menjadi medan penting untuk memperkukuh solidariti dalam parti, selain kesiapsiagaan parti dalam menghadapi PRN Sabah yang bakal menjelang.
“Gerak kerja yang tersusun dan berpaksikan semangat setiakawan akan memastikan UMNO terus mara ke hadapan sebagai parti yang membela rakyat dan memperjuangkan agenda pembangunan negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online
