KAMU 2025: Kerajaan Negeri Perak Komited Cungkil Bakat, Potensi Anak Muda

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri begitu komited dalam usaha mencungkil bakat dan potensi generasi muda serta meraikan sumbangan mereka sebagai aset paling bernilai untuk negeri itu.

Dalam ucaptama di Karnival Mesra Anak Muda (KAMU), Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkongsi visi dan misi serta usaha-usaha kerajaan negeri yang telah dilaksanakan khusus untuk anak-anak muda.

(Kredit gambar: Facebook Karnival Mesra Anak Muda – KAMU)

“Kita percaya dengan ruang dan sokongan padu dari kerajaan negeri, anak muda Perak mampu menjadi pencetus idea baharu yang membawa perubahan positif kepada negeri ini.

“Pesan saya kepada anak muda Perak, teruslah melangkah kehadapan dan sentiasa lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta apa jua ‘skill’ yang boleh beri nilai tambah kepada diri kita supaya dapat menjadi insan yang lebih hebat,” katanya menerusi satu perkongsian di dalam laman Facebook rasminya.

Saarani juga menyatakan keterujaan apabila dapat bersama dengan anak-anak muda Perak dalam KAMU 2025 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hujung minggu lalu, yang kini memasuki tahun keempat penganjurannya.

“Mereka semua adalah aset paling berharga negeri ini yang akan mewarisi dan memimpin Perak ke mercu kejayaan satu hari nanti.

“Uniknya KAMU 2025 pada kali ini, selain penganjuran aktiviti sukan, majlis ilmu, keusahawanan serta meraikan hobi dan minat anak muda, kita juga memberi fokus kepada TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

“Kerana kita yakin, bahawa TVET itu membina kerjaya masa hadapan dan kunci anak muda untuk sama-sama bangkit membangunkan negeri,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu lagi.

Seterusnya, Saarani mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program berprestij itu.

Begitu juga Saarani berharap agar generasi muda dapat terus menyumbang dan menjadi peneraju perubahan, serta pembina masa depan yang gemilang untuk negeri Perak. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO