Skuad Sukarelawan BN Sabah Bantu Masyarakat, Misi Kemanusiaan – Musliati
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Ketua UMNO Sabah Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin melihat Skuad Sukarelawan Barisan Nasional (BN) Sabah yang telah dilancarkan Pengerusi BN, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat memainkan peranan tersendiri dalam aspek kemanusiaan serta kebajikan di negeri berkenaan.
Menurut beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia langkah tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat setempat yang ditimpa musibah selain penglibatan agensi yang lain.
“Semoga dengan wujudnya skuad ini akan dapat mengumpul seberapa banyak sukarelawan yang akan membantu dalam misi kemanusiaan, program kebajikan, atau aktiviti komuniti secara sukarela,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Beliau seterusnya memaklumkan sebelum ini misi pertama Skuad Sukarelawan BN Sabah yang diketuai Ketua UMNO negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin telah menyantuni kawasan yang terlibat banjir selain gotong-royong bersama masyarakat setempat.
“Antaranya gotong-royong perdana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, DUN Klias, DUN Membakut, DUN Bongawan, DUN Kawang, DUN Pantai Manis dan DUN Moyog.
“Terima kasih dan tahniah kepada DUN dan kawasan terlibat yang telah membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang ditimpa musibah. Semoga kita semua dipermudahkan dan segalanya berjalan lancar, insya-Allah,” ujarnya.
Memetik laporan, Skuad Sukarelawan BN Sabah dilancarkan secara rasmi pada Sabtu bagi melaksanakan kerja kesukarelawanan pasca bencana bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di negeri itu.
Ahmad Zahid berkata pasukan yang mula turun padang di kawasan terjejas bencana sejak beberapa hari lalu juga akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi.
Katanya, ia inisiatif BN Sabah untuk membantu rakyat negeri ini yang menghadapi kesukaran selepas bencana seperti membersihkan rumah dengan menyediakan tenaga dan peralatan diperlukan. – UMNO Online
