Operasi Cari Anggota Tentera Hilang Di Mataking Diteruskan ATM – Khaled Nordin
PUTATAN,21 Sept – Kementerian Pertahanan (MINDEF) masih menjalankan siasatan berhubung kes seorang anggota tentera maut manakala seorang lagi hilang ketika bertugas di Pos Gabungan PDRM-ATM di Pulau Mataking Semporna, baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga kini seorang lagi anggota yang dilaporkan hilang masih belum dapat dikesan.
“Kita zahirkan rasa simpati dan dukacita atas kejadian yang menimpa dua anggota yang mana seorang dijumpai meninggal dunia manakala seorang lagi tidak dapat dikesan hingga kini.
“Pada mulanya, operasi dijalankan dengan pembabitan pelbagai agensi tetapi selepas beberapa hari, kini hanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja yang meneruskan operasi mencari mangsa hilang.
“Maknanya ATM (terutamanya) Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih menjalankan operasi secara sendiri.
“Kita pun sedang buat siasatan (punca sebenar kejadian) dan bersedia menerima apa-apa keputusan. Kita juga akan lihat bagaimana (proses siasatan) dan apa yang diperlukan,” katanya ketika pada sidang media selepas lawatan kerja di Kem Lok Kawi di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan anggota tentera, Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di pantai Pulau Mataking jam 9.25 malam.
Seorang lagi anggota, Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, pula dilaporkan hilang.
Difahamkan kedua-dua anggota adalah daripada Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dan ditempatkan di Kompeni C Kem Batu 3, Kluang, Johor. – HMetro
