Pan Borneo Bukti Infrastruktur Asas Membangun Masa Depan Sabah

SUKAU, 19 Sept – Setiausaha UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin, menegaskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah bukti nyata bahawa infrastruktur bukan sekadar batu dan tar, sebaliknya asas utama dalam membina masa depan yang lebih inklusif, progresif dan seimbang untuk rakyat Sabah.

Menurut beliau, pembangunan jalan raya moden itu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, meningkatkan akses pendidikan serta kesihatan, di samping menjamin kesejahteraan rakyat pedalaman.

“Setiap kilometer jalan yang dibina adalah simbol kesungguhan kerajaan memastikan Sabah tidak lagi ketinggalan daripada arus pembangunan nasional. Keringat dan usaha kami bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Datuk Jafry berkata demikian selepas meninjau tapak Projek Pan Borneo Sabah Fasa 1B bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang melibatkan dua pakej utama iaitu menaik taraf jalan dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau (WP 25) dan dari Sukau ke Kampung Lot M (WP 26).

Beliau menegaskan projek ini adalah pelaburan jangka panjang yang manfaatnya akan diwarisi oleh generasi akan datang, selaras dengan matlamat pembangunan seimbang di Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO