PRN Sabah: BN Sudah Cukup Bersedia Dari Segi Calon, Manifesto – Noraini

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Barisan Nasional (BN) sudah cukup bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dari segi persediaan calon dan manifesto yang akan ditawarkan kepada rakyat.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuka peluang bagi parti membuktikan kekuatan sendiri.

“Rasanya majoriti ahli UMNO/BN menyokong keputusan untuk tidak bekerjasama dengan GRS dalam menghadapi PRN ke-17. Saya juga merasakan bahawa di kalangan ahli-ahli parti GRS sendiri juga punya pendirian sama.

“Bagi saya ini adalah keputusan yang kita kena terima sebab ia juga akan membuka peluang untuk membuktikan bahawa UMNO ini mempunyai kekuatan sendiri.

“Kita tahu bahawa UMNO/BN memang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). Tetapi apabila kita sudah buat keputusan untuk tidak kerjasama dengan GRS, inilah ruang dan peluang bagi menunjukkan bahawa UMNO/BN boleh berdiri di atas landasan sendiri,” katanya.

Jelasnya, UMNO/BN mempunyai trek rekod pemerintahan yang cemerlang selama 25 tahun di Sabah.

“UMNO/BN ini mempunyai trek rekod pemerintahan yang cemerlang. Kita pernah menjadi kerajaan di Sabah walaupun kini kita sebagai pembangkang. Kita mempunyai trek rekod di Sabah selama lebih 25 tahun.

“Kalau kita lihat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Transformasi Bandar (UTC), projek Lebuh Raya Pan-Borneo, Sabah Development Corridor, Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) di Kimanis… semua ini dilahirkan semasa BN menjadi kerajaan di Negeri Sabah. Itu semua pencapaian cemerlang BN,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, penampilan calon dan tawaran manifesto kepada rakyat adalah penting untuk menggamit sokongan para pengundi.

“Mengenai sokongan pengundi… sudah tentulah kedua-dua parti mempunyai ‘support base’ masing-masing. UMNO/BN ini adalah parti berstruktur. Kita bermula daripada cawangan ke peringkat pusat daerah mengundi (PDM), bahagian dan negeri. Ini adalah kelebihan kepada UMNO/BN.

“Pertembungan calon ketika pilihan raya adalah perkara biasa. Cuma, parti mana yang dapat menampilkan calon yang berkaliber, ‘winnable’ dan boleh diterima oleh pengundi. Begitu juga dengan parti yang dapat menawarkan manifesto yang lebih baik.

“Saya rasa BN sudah cukup bersedia bukan sahaja dari segi menamakan calon-calon yang bakal bertanding tetapi juga dari segi tawaran-tawaran dan manifesto yang bakal dilancarkan untuk PRN kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO