Ahmad Zahid Tegas Komitmen Terus Bantu Mangsa Banjir Sabah

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa sayu dan penuh empati semasa meninjau keadaan mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, setiap wajah penduduk yang dilihatnya mencerminkan ketabahan luar biasa.

“Pada setiap wajah yang saya renungi, terpancar ketabahan yang melebihi kata-kata.

“Duduk bertentang mata dengan penduduk terjejas ini mengajarkan saya bahawa di balik derasnya ujian dan runtuhnya bumi, masih menyala api semangat yang tidak pernah padam,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.

Sementara itu Ahmad Zahid dalam catatan terdahulu turut sama mendoakan agar segala urusan di lapangan dipermudahkan termasuk bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mangsa.

Beliau juga memberi jaminan bahawa lawatannya ke Sabah bukan yang terakhir dan akan terus memantau serta menyalurkan bantuan sehingga keadaan benar-benar pulih sepenuhnya.

“Semoga dipermudahkan jua setiap langkah mereka, menguatkan hati-hati yang diuji dan menuntun mereka bangkit menghadapi hari-hari mendatang.

“Saya mendoakan agar segala urusan di lapangan dipermudahkan dan bantuan yang dihulurkan mampu meringankan beban saudara-saudara kita yang memerlukan di sana.

“Semestinya ini bukan lawatan terakhir saya ke bumi Sabah. Insya-Allah, kami akan terus memantau, menyalurkan bantuan dan berdiri bersama rakyat Sabah sehingga keadaan kembali pulih,” ujar beliau.

Terdahulu beliau turut memaklumkan antara bantuan pasca banjir yang dilakukan adalah pembaikan rumah rosak dan pemulihan pendawaian elektrik melalui kerjasama agensi seperti GiatMARA.

Beliau turut menyeru orang ramai agar mematuhi arahan pemindahan jika diberikan, demi keselamatan keluarga mangsa.

Untuk rekod Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan seramai 3,325 orang daripada 964 keluarga ditempatkan di 27 PPS di Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang, serta satu pusat pemindahan kekal di Beaufort pada petang semalam.

Bencana tanah runtuh di Sabah telah meragut 13 nyawa manakala banjir mengorbankan seorang mangsa setakat ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO