Insentif Pengecualian PTPTN Kekal, Norliza Tegur Pembangkang Main Politik… Sebar Fakta Tidak Tepat

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa insentif pengecualian bayaran balik pinjaman bagi graduan kelas pertama kekal berkuat kuasa dan tidak pernah dimansuhkan seperti yang didakwa sebelum ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata demikian berikutan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pas, Dr Haim Hilman Abdullah, mengenai dakwaan insentif tersebut telah dibatalkan.

“Semalam ada sedikit isu yang ditimbulkan oleh Dr Haim ADUN Jitra mengenai insentif pengcualian pinjaman untuk kelas pertama yang dikatakan dimansuhkan.

“Ingin saya tegaskan di sini kita tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan insentif pembayaran balik ini dimansuhkan, memang ia berterusan dan tidak ada sebarang isu yang mengatakan tidak boleh dimohon.

“Saya juga ada keluarkan kenyataan pada bulan Ogos yang mengatakan boleh mohon melalui aplikasi kepada semua yang mendapat ijazah kelas pertama,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, Dr Haim mendakwa dasar pinjaman PTPTN yang ditukar kepada biasiswa dalam kalangan graduan kelas pertama telah dimansuhkan ketika berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-71.

Sebagai respon kepada kenyataan tersebut, Norliza menggesa pembangkang untuk mengemukakan idea-idea konstruktif bagi membantu memastikan dana PTPTN sentiasa mampan supaya tiada pelajar yang terpinggir, berbanding mempolitikkan isu tidak berasas.

Katanya, ini kerana pendidikan adalah medan untuk membina masa depan dan bukannya gelanggang retorik politik.

“Kita mohon pembangkang berilah idea-idea untuk membantu PTPTN memastikan kelangsungan dana itu sentiasa mampan untuk pastikan tiada pelajar yang tercicir.

“Daripada hanya mengkritik saya rasa elok kita jadi pembangkang yang berhemah memberi idea yang bernas untuk memastikan kelangsungan pendidikan negara diteruskan dengan baik,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO