Hati Luluh Lihat Kesedihan, Ahmad Zahid Simpati Pada Mangsa Banjir, Tanah Runtuh Di Sabah

PAPAR, 18 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menutup rangkaian lawatannya di Sabah dengan menziarahi mangsa banjir serta tanah runtuh di daerah Papar, hari ini.

Beliau melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk di Dewan Masyarakat Papar, Dewan Marahang dan Dewan Raya Tandugal, Kg. Mook Kinarut bagi menyantuni penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Dalam lawatan itu, beliau turut menziarahi keluarga mangsa tragedi tanah runtuh yang mengorbankan nyawa di Papar.

Beliau yang juga Presiden UMNO mengakui amat terkesan dengan suasana pilu yang menyelubungi dewan serta linangan air mata ahli keluarga mangsa.

“Hati saya luluh melihat kesedihan mereka. Saya mendoakan agar seluruh keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut menghargai tindakan pantas Kerajaan Negeri Sabah, pejabat daerah, NGO serta agensi penyelamat yang cekap berganding bahu menyelamatkan mangsa serta menguruskan operasi bencana dengan baik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO