Tribunal Anti-Buli Dicadang, Kerajaan Komited Tangani Secara Menyeluruh – Azalina
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli bagi mempercepat dan mempermudah proses penyelesaian kes buli menjadi fokus utama sesi Townhall #GenerasiTanpaBuli yang dianjurkan hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ia dicadang berfungsi secara mesra mangsa, bersifat pemulihan, serta berteraskan perlindungan kanak-kanak khususnya di bawah usia 18 tahun.
“Sesi ini bertujuan untuk membincangkan dan mendengar pandangan umum berkaitan inisiatif dan strategi membanteras gejala buli.
“Antara cadangan yang dibincang termasuk penubuhan Tribunal Antibuli bagi menangani kes dengan lebih cepat, mesra mangsa, berorientasikan pemulihan dan berteraskan ekosistem yang melindungi kanak-kanak – terutamanya bagi golongan rentan di bawah 18 tahun,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sesi townhall tersebut diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu Azalina menekankan pentingnya kerjasama menyeluruh daripada semua pihak dalam menangani isu ini.
Katanya ia melibatkan komitmen bersama kerajaan, pendidik, ibu bapa, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam menangani isu buli secara holistik.
“Kami mahu dengar pandangan rakyat. Maklum balas awam amat dialu-alukan melalui platform portal PetaRI agar pendekatan kita inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam membanteras buli dengan mesej jelas: “Tiada ruang untuk buli di Malaysia.” – UMNO Online
