Isu Dana PRU PN: Shaiful Hazizy Tanya, ‘Nak Percaya Siapa?’

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk segera menjawab dakwaan dana pilihan raya yang ditimbulkan oleh Dr Marzuki Mohamad.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata ini kerana berdasarkan rekod dan sejarah lampau, kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Marzuki dilihat lebih meyakinkan dan wajar diberikan perhatian.

“Kita hendak percaya siapa?

“Dengan rekod sejarah lampau dan beberapa peristiwa-peristiwa tertentu, dalam hal ni saya lebih cenderung mengatakan bahawa Dr Marzuki bercakap benda yang betul.

“Kalau MB Kedah tak nak terus menerus terpalit sebagai Menteri Besar yang suka menipu, umum sana dan sini, beliau kena nafi dengan segera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Dr Marzuki melalui perkongsian di Facebook menegaskan segala perbelanjaan pilihan raya Perikatan Nasional (PN) ditanggung sepenuhnya oleh PPBM, termasuk sumbangan kewangan kepada Pas.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua peralatan pilihan raya menggunakan logo PN ketika itu disediakan PPBM, sekali gus membantu Pas meraih kemenangan 43 kerusi Parlimen sekali gus menjadi pencapaian terbesar parti itu dalam sejarah politiknya.

Bagaimanapun Sanusi ketika penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 mendakwa parti itu terpaksa membiayai sendiri peralatan pilihan raya, malah mengenakan bayaran RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU) untuk parti rakan dalam PN. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO