Sentuhan Prihatin ADUN Jeram Padang: Prasarana Dinaik Taraf, Rakyat Disantuni

JEMPOL, 17 Sept – Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang terus konsisten turun padang mendengar suara rakyat dan melaksanakan inisiatif demi keselesaan masyarakat.

Baru-baru ini beliau telah meninjau projek naik taraf Padang Kg. Baru Rompin yang sedang giat dijalankan hasil kelulusan peruntukan RM167,000.00 daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jelasnya ia adalah projek berimpak tinggi untuk rakyat yang meliputi pembinaan tembok penahan, lantai dan tangga konkrit, pemasangan pagar jejaring, penyediaan tempat duduk serta pembinaan longkang.

“Alhamdulillah, apabila siap nanti padang ini bukan sekadar tempat bersukan, tetapi juga menjadi pusat riadah dan kemasyarakatan yang lebih selesa, terutamanya buat anak-anak muda di Kg. Baru Rompin,” kata beliau kepada UMNO Online.

Tidak hanya menekankan pembangunan fizikal, Datuk Mohd Zaidy turut mengutamakan sentuhan kasih terhadap masyarakat melalui program Ziarah Kasih di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dengan menziarahi pesakit di sini.

“Selain menitipkan doa agar mereka yang uzur diberi kesembuhan serta kekuatan menghadapi ujian kesihatan, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan yang sentiasa cekap, sabar dan berdedikasi. Jasa mereka amat besar dalam menjaga kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Demi aplikasi yang lebih dekat dan berkesan, Mohd Zaidy juga meneruskan tradisi Hari Bertemu Rakyat di Pusat Khidmat ADUN Jeram Padang, iaitu sebuah platform penting untuk mendengar terus keluhan dan cadangan penduduk setempat.

“Segala isu kebajikan, pendidikan, prasarana dan pembangunan komuniti akan diberikan perhatian serta disalurkan kepada jabatan dan agensi berkaitan,” jelasnya.

Terdahulu, sambutan Hari Malaysia ke-62 semalam, Mohd Zaidy mengajak seluruh rakyat mengekalkan semangat muafakat dan kasih sayang demi masa depan negara.

“Hari Malaysia mengingatkan kita kepada detik bersejarah penyatuan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu pada tahun 1963. Ia bukan sahaja melakar perpaduan dalam kepelbagaian, malah menjadi asas kepada kekuatan negara kita hingga ke hari ini.

“Tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni cukup bermakna kerana ia mencerminkan sebuah Malaysia yang menjunjung kesejahteraan rakyat serta mengangkat nilai kebersamaan.”

Katanya lagi, komitmen selaku wakil rakyat ini adalah nilai kepimpinan yang bukan hanya sekadar janji, tetapi tindakan nyata demi rakyat iaitu daripada pembangunan prasarana hingga sentuhan kasih sayang terhadap masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO