UMNO Putatan Terus Prihatin, Ziarah Mangsa Banjir Dan Hulurkan Sumbangan

PUTATAN, 17 Sept – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffeery Nor Mohamed, terus menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib mangsa-mangsa banjir di kawasan Putatan yang terjejas teruk sejak beberapa hari lalu.

Beliau memulakan lawatan dengan menziarahi penduduk di Kampung Potuki sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Lembising, yang sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar selama hampir dua hari akibat banjir besar.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bantuan dan bekalan asas.

“Alhamdulillah saya dapat hadir ke Kampung Lembising untuk bertemu dengan penduduk, ramai juga terdiri daripada saudara mara dan sahabat-sahabat kampung. Saya berpeluang menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka selepas melalui tempoh yang sangat mencabar,” katanya kepada UMNO Online.

Selain itu, Jeffeery turut melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Seri Gai, Putatan dan menyerahkan sumbangan hasil keprihatinan rakan-rakan dan pihak yang sudi membantu bagi memastikan kebajikan mangsa terjaga.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah turun padang membantu, termasuk Balai Polis Putatan, Pejabat Daerah Putatan, Jawatankuasa KRT PPR Keramat, Bulan Sabit Merah Malaysia dan agensi-agensi lain.

“Terima kasih kepada semua yang memudahkan urusan di PPS ini. Saya hanya mampu membantu dengan sedikit sumbangan, namun apa yang penting adalah semangat kebersamaan dalam menghadapi bencana,” tambahnya.

Lawatan diteruskan ke PPS Dewan Kampung Meruntum iaitu Jeffeery sekali lagi menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan.

Beliau berkata, walaupun bantuan yang diberikan tidak seberapa, ia diharap dapat meringankan sedikit beban pasca banjir.

“Saya doakan semua mangsa sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Insya-Allah kita akan terus bekerjasama membantu mereka yang terkesan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa pihak berwajib untuk segera menyelesaikan isu jalan berlubang terutama di kawasan berhampiran jambatan Dumpil ekoran keadaan jalan yang rosak teruk dan berlubang-lubang dikhuatiri boleh mengundang bahaya, lebih-lebih lagi kepada pengguna motosikal.

“Banyak kereta sudah mengalami kerosakan akibat jalan berlubang ini. Mohon tindakan segera diambil demi keselamatan pengguna jalan raya,” tegasnya.

Terdahulu dilaporkan sejak beberapa hari lalu, banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah, termasuk di Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Membakut dan Beaufort menyebabkan rakyat terpaksa dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.

Setakat ini, lebih 3,000 mangsa direkodkan ditempatkan di PPS di seluruh negeri. Kerajaan Persekutuan melalui Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan segera bagi membantu mangsa dan memulihkan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO