Labuan Terus Dilanda Banjir Kilat, Rakyat Tuntut Penyelesaian Menyeluruh – Mohd Rafi
LABUAN, 17 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menzahirkan kebimbangan terhadap isu banjir kilat yang semakin meruncing di Labuan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat setempat.
Beliau berkata, rakyat kini berdepan situasi yang seolah-olah tiada penghujung, dengan persoalan sama ada bencana tersebut berpunca daripada fenomena air laut pasang atau sistem perparitan yang gagal berfungsi dengan baik.
“Rakyat semakin resah. Mereka sering mengalami kerosakan harta benda akibat banjir kilat, suatu bencana yang sebenarnya boleh dielakkan dengan perancangan dan tindakan yang lebih berkesan. Tahap kesabaran rakyat juga ada hadnya,” tegas beliau.

Menurut Mohd Rafi, dalam tempoh dua minggu lalu rakyat masih dapat menerima bencana angin kencang yang merosakkan puluhan rumah sebagai musibah alam, namun isu banjir kilat yang berulang kali berlaku setiap kali hujan lebat amat membebankan.
Beliau mendedahkan, semalam beliau menerima salinan laporan polis daripada salah seorang mangsa banjir kilat di Kampung Lajau, sekali gus membuktikan betapa seriusnya isu yang melanda.
“Saya amat bersimpati dengan nasib mereka. Sebagai pemimpin, saya hanya mampu menyuarakan suara rakyat agar pihak yang bertanggungjawab segera mendengar dan bertindak demi kebajikan masyarakat yang ditimpa musibah ini,” ujarnya.
Mohd Rafi menegaskan, pihak berwajib perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana ekonomi rakyat bawahan semakin tertekan apabila barangan rumah rosak berulang kali.

“Ini bukan soal satu atau dua rumah, tetapi melibatkan puluhan rumah yang terkesan setiap kali hujan lebat. Warga Labuan tidak boleh terus dibebani keadaan ini setiap kali hujan turun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Jabatan Pengairan dan Saliran segera merancang serta memperbesarkan parit sedia ada sekiranya punca banjir berpunca daripada sistem perparitan. Sekiranya faktor air laut pasang dikenal pasti, maka perlu diwujudkan kolam takungan air di kawasan-kawasan kampung yang sering terjejas.
“Sudah tiba masanya penyelesaian menyeluruh dilaksanakan iaitu bukan sekadar reaktif selepas bencana berlaku namun demi menjaga keselamatan, harta benda dan kesejahteraan rakyat Labuan,” tegas beliau lagi. – UMNO Online
