Sambutan Hari Malaysia: Pelbagai Lapisan Masyarakat Banjiri Dataran Raub

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Dataran Raub sempena Sambutan Hari Malaysia yang diadakan pada Selasa bagi peringkat Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, Hari Malaysia adalah detik bersejarah penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

“Alhamdulillah, malam tadi saya bersama rakyat Negeri Pahang khususnya masyarakat di Raub berhimpun di Dataran Raub untuk meraikan Sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Negeri Pahang.

“Saya melihat pelbagai lapisan masyarakat dan juga kaum membanjiri Dataran Raub untuk bersama-sama meraikan hari yang penuh bermakna kepada kita sebagai rakyat Malaysia.

“Hari Malaysia bukan sekadar tarikh di dalam kalendar, tetapi detik bersejarah penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 di bawah satu bendera, kedaulatan dan identiti iaitu Malaysia

“Jalur Gemilang adalah lambang maruah negara, manakala Rukun Negara pula menjadi panduan hidup bersama. Selagi kita junjung keduanya, negara akan terus teguh dan harmoni,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memastikan pembangunan seimbang dan menyeluruh dilaksanakan melalui Aspirasi Pahang 1st.

“Melalui Aspirasi Pahang 1st, kerajaan negeri sentiasa memastikan pembangunan seimbang dan menyeluruh terus dilaksanakan, daripada penyediaan rumah untuk rakyat, biasiswa pendidikan, kebajikan melalui Inisiatif Makmur Pahang, pembangunan ekonomi moden dan pelancongan lestari, hinggalah kepada usaha menjaga alam sekitar. Semuanya dilakukan demi kesejahteraan rakyat.

“Sempena Hari Malaysia ini, marilah kita memperbaharui ikrar setia. Malaysia adalah tanah air kita, Malaysia adalah masa depan kita, dan Malaysia adalah warisan untuk anak cucu kita.

“Dengan kesatuan hati dan tekad bersama, Malaysia akan terus gemilang, Pahang terus makmur, dan rakyat terus disantuni,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO