Kemeriahan Sambutan Hari Malaysia, Simbolik Kepada Penyatuan Dalam Kalangan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemeriahan Hari Malaysia yang diraikan malam tadi simbolik kepada penyatuan dalam kalangan rakyat negara ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ini kerana suasana majlis yang penuh dengan kepelbagaian latar belakang telah menzahirkan satu wajah Malaysia yang bersatu, harmoni dan penuh kasih terhadap tanah air tercinta.

“Malam tadi di Pulau Mutiara, saya benar-benar terharu melihat ribuan rakyat Malaysia yang hadir, mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat dari awal acara hingga ke penghujungnya.

“Di sebalik kepelbagaian latar belakang, saya melihat satu wajah Malaysia yang bersatu, harmoni dan penuh kasih terhadap tanah air tercinta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata suasana harmoni dan penuh semangat yang ditunjukkan hadirin menggambarkan bahawa tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” benar-benar dihayati oleh seluruh rakyat.

Mengulas lanjut beliau turut sama merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus menghargai nilai perpaduan dan semangat setia kepada negara.

“Saat saya berdiri di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth malam tadi, sorakan dan senyuman semua yang hadir membuatkan saya bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan negara ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga Malaysia yang memaknai Hari Malaysia dengan jiwa yang tulus.

“Melihat kesatuan dan kemajmukan ini, saya semakin yakin bahawa selama kita berpaut pada semangat perpaduan dan hormat-menghormati, Malaysia akan terus utuh dan makmur. Insya-Allah, inilah kekuatan sebenar negara kita,” ujar beliau.

Terdahulu pada semalam, suasana penuh warna-warni, harmoni dan semangat kebangsaan menyelubungi Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth apabila ribuan rakyat pelbagai kaum berkumpul meraikan kemuncak sambutan Hari Malaysia 2025.

Malam gilang-gemilang dan penuh bermakna itu turut mencatat detik bersejarah buat Pulau Pinang apabila julung kali diberi penghormatan menjadi tuan rumah acara yang menyatukan seluruh rakyat dengan mengangkat tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO