Banjir Sabah: Ahmad Zahid Arah Jambatan Modular Dipasang Segera, Tumpu Baik Pulih
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan tindakan segera diambil bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir dan tanah runtuh di Sabah, termasuk pemasangan jambatan modular di kawasan terputus hubungan.
Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas ialah Sungai Kaiduan, Papar, yang menyaksikan jambatan utama runtuh, menyebabkan gangguan perhubungan.

“Saya telah arahkan agar jambatan modular dipasang segera di lokasi terputus bagi memastikan hubungan laluan penduduk dapat dipulihkan. Pihak JKR Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) diminta melaksanakan kerja pemasangan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, tiga unit jambatan Bailey Bridge telah dibekalkan oleh NADMA kepada Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun lalu sebagai persediaan menghadapi bencana, dan kini perlu diguna sebaiknya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di Jalan Penampang – Tambunan melibatkan pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembinaan semula infrastruktur seperti jambatan gantung, tembok penahan cerun serta jalan-jalan yang rosak akibat tanah runtuh.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada NGO dan komuniti setempat yang turut membantu mangsa bencana dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti makanan, keperluan asas, selimut dan tilam.
“Sumbangan ini sangat bermakna kepada mangsa dan membantu mempercepatkan operasi bantuan serta pemulihan,” tambahnya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa Ketua Pengarah NADMA kini berada di Sabah bersama Setiausaha Persekutuan Sabah bagi menyelaras tindakan dan pengurusan bencana secara langsung.
Beliau berharap usaha bersepadu antara agensi kerajaan, NGO dan masyarakat akan mempercepatkan proses pemulihan, sekali gus membolehkan mangsa kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat. – UMNO Online
