Ahmad Zahid Seru Rakyat Kekalkan Perpaduan Sempena Hari Malaysia 2025

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memelihara semangat perpaduan dan kebersamaan yang menjadi asas pembentukan negara sejak tahun 1963.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia 2025, beliau menegaskan bahawa kepelbagaian budaya, agama dan bangsa di negara ini merupakan khazanah berharga yang menjadikan Malaysia unik serta disegani di peringkat antarabangsa.

“Selagi kita terus menghormati perbezaan dan mengamalkan semangat kebersamaan, insya-Allah Malaysia akan terus kekal makmur, harmoni dan disegani,” katanya.

Mengulas tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, beliau berkata kekuatan sebenar negara bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal dan kemajuan ekonomi, tetapi juga kepada kasih sayang serta kepedulian antara rakyat.

“Alhamdulillah, 16 September setiap tahun sentiasa mengingatkan kita kepada semangat keberanian dan kesepakatan yang melahirkan Malaysia pada tahun 1963,” tambah beliau.

Ahmad Zahid turut mengajak rakyat untuk terus berbakti kepada tanah air serta memperkukuh ikatan perpaduan demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

“Sambutan Hari Malaysia ini bukan sekadar peringatan sejarah, tetapi juga peluang untuk kita memperbaharui tekad demi Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO