Ahmad Zahid Rakam Takziah Atas Pemergian Saripah Aminah

Kuala Lumpur, 15 Sept – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan ucapan takziah atas pemergian Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed, Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga Wanita UMNO, malah kepada seluruh warga parti dan masyarakat yang mengenali beliau sebagai seorang pejuang gigih dalam memperjuangkan peranan wanita, institusi keluarga dan pembangunan komuniti.

“Saya dan seluruh kepimpinan UMNO merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” ujar beliau.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal kebaikan serta bakti yang telah beliau curahkan sepanjang hayatnya,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO