Lawatan Kerja: Malaysia-Australia Zahir Komitmen Perkukuh, Maju Kerjasama
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Malaysia dan Australia menzahirkan komitmen untuk terus mengukuhkan dan memajukan kerjasama dua hala khususnya dalam bidang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di kedua-dua buah negara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Victoria, PYT Margaret Elaine Gardner sempena rangka lawatan kerja ke Australia pada Jumaat.

“Mengadakan kunjungan hormat ke atas PYT Margaret Elaine Gardner, Gabenor Victoria di Rumah Kerajaan sebelum bermulanya Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Negeri ke-7.
“Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk terus mengukuhkan serta memajukan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Negeri Malaysia-Australia Ke-7 (AFMM) memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka peluang baharu.

“Bersama rakan sejawat dari Australia, PYT Senator Penny Wong mempengerusikan bersama AFMM. Mesyuarat memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan kerjasama dua hala serta meneroka peluang baharu di bawah Perkongsian Komprehensif Strategik (CSP).
“Fokus utama merangkumi bidang ekonomi hijau, agromakanan, tenaga, teknologi digital dan mineral kritikal, di samping memperkukuh kerjasama dalam industri halal serta kepengerusian Malaysia ASEAN 2025,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut diakhiri dengan pemeteraian Kenyataan Bersama AFMM Ke-7 sebagai tanda komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Australia.
“Selain itu, kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.
“Mesyuarat kali ini dimuktamadkan dengan pemeteraian Kenyataan Bersama AFMM Ke-7 sebagai tanda komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Australia,” katanya lagi. – UMNO Online
