Banjir Sabah: Zahid Hamidi Ingatkan Penduduk Utamakan Keselamatan
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru penduduk di kawasan berisiko banjir di Sabah agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga berikutan situasi banjir yang melanda beberapa daerah.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, beliau yang juga Presiden UMNO berkata setakat ini lebih 400 penduduk di Penampang dan Beaufort telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“Pihak berkuasa akan terus mengawasi keadaan ini dan memastikan semua agensi yang terlibat, khususnya di peringkat negeri dan daerah, sentiasa memantau, menyelaras serta bertindak segera dalam memberi bantuan secara menyeluruh sekiranya situasi memburuk,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid turut menasihati penduduk agar sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berwajib dan segera berpindah apabila diarahkan.
“Keselamatan keluarga adalah keutamaan kita bersama. Bersama-sama kita berdoa agar keadaan kembali pulih dengan segera dan segala urusan bantuan dipermudahkan. Insya-Allah,” ujarnya.
Banjir yang melanda beberapa kawasan di Sabah sejak semalam dilaporkan berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menyebabkan beberapa sungai melimpah dan menjejaskan penduduk setempat. – UMNO Online
