Hari Malaysia Lambang Perpaduan, Bukan Perpecahan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tarikh 16 Sept Hari Malaysia harus menjadi detik memperkukuh perpaduan nasional dengan menolak politik perpecahan dan retorik yang membakar sentimen kepelbagaian.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Malaysia dibina atas asas kesatuan dalam kepelbagaian kaum, wilayah dan suara, justeru sebarang bentuk polarisasi perlu dielakkan agar tidak menghakis kekuatan sebagai bangsa Malaysia.

“Hari Malaysia adalah detik keramat yang mengingatkan kita bahawa negara ini dibina atas asas perpaduan yang menyatukan kepelbagaian kaum, wilayah dan suara dalam satu semangat Malaysia,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya bersempan sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan.
Menurut Ahmad Zahid, masyarakat hari ini berkembang menjadi “societies of surveillance” iaitu rakyat saling memerhati dan menilai, namun keadaan itu seharusnya digunakan untuk membina dan bukan mencari kesalahan atau menjatuhkan maruah orang lain.
“Perpaduan nasional tidak akan bertahan jika ruang awam dipenuhi dengan penghinaan bukan penginsafan; dengan label bukan dialog. Di sinilah tanggungjawab setiap pemimpin dan warganegara untuk tidak mengulangi sejarah perpecahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk meneguhkan semula ikatan perpaduan yang diwariskan sejak penubuhan negara ini, dengan menekankan keperluan kepada tasamuh (toleransi), musyawarah (perbincangan) dan ta’ayush (hidup bersama secara harmoni).
“Kita tidak mewarisi negara ini untuk diruntuhkan, tetapi untuk diperkukuhkan dengan hikmah, dengan kesabaran, dan dengan kasih sayang terhadap tanah air yang satu. Mari kita bina Malaysia yang menyatukan, memulihkan, dan membanggakan generasi akan datang,” ujarnya.
Terdahulu beliau menyertakan petikan dari Surah Al-Anfāl, 8:46 iaitu:
“𝐷𝑎𝑛 𝑡𝑎𝑎𝑡𝑙𝑎ℎ 𝑘𝑎𝑚𝑢 𝑘𝑒𝑝𝑎𝑑𝑎 𝐴𝑙𝑙𝑎ℎ 𝑑𝑎𝑛 𝑅𝑎𝑠𝑢𝑙-𝑁𝑦𝑎, 𝑑𝑎𝑛 𝑗𝑎𝑛𝑔𝑎𝑛𝑙𝑎ℎ 𝑘𝑎𝑚𝑢 𝑏𝑒𝑟𝑏𝑎𝑛𝑡𝑎ℎ-𝑏𝑎𝑛𝑡𝑎ℎ; 𝑘𝑒𝑙𝑎𝑘 𝑘𝑎𝑚𝑢 𝑚𝑒𝑛𝑗𝑎𝑑𝑖 𝑙𝑒𝑚𝑎ℎ 𝑠𝑒𝑚𝑎𝑛𝑔𝑎𝑡 𝑑𝑎𝑛 ℎ𝑖𝑙𝑎𝑛𝑔 𝑘𝑒𝑘𝑢𝑎𝑡𝑎𝑛 𝑘𝑎𝑚𝑢. 𝐷𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟𝑠𝑎𝑏𝑎𝑟𝑙𝑎ℎ; 𝑠𝑒𝑠𝑢𝑛𝑔𝑔𝑢ℎ𝑛𝑦𝑎 𝐴𝑙𝑙𝑎ℎ 𝑏𝑒𝑠𝑒𝑟𝑡𝑎 𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔-𝑜𝑟𝑎𝑛𝑔 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑠𝑎𝑏𝑎𝑟.”
Ujar Ahmad Zahid, ayat ini bukan sekadar arahan tetapi juga sebagai strategi negara.
“Tiga asas utama digariskan adalah ketaatan kepada prinsip, larangan bertelingkah yang melemahkan daya juang kolektif, dan kepentingan kesabaran dalam menghadapi ujian.” – UMNO Online
