MUBARAK Johor Sambut Baik Peruntukan Tambahan RM31.68 Juta Pendidikan, Seru Fokus TVET
JOHOR BAHRU, 12 Sept – Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Negeri Johor menyambut baik pengumuman peruntukan tambahan sebanyak RM31.68 juta bagi pembangunan pendidikan negeri, yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15 semalam.
Peruntukan itu melibatkan 42 inisiatif tambahan dengan tujuh daripadanya memberi fokus kepada pelajar di pelbagai peringkat pendidikan termasuk mahasiswa, pelajar Tingkatan Enam, calon SPM dan pelajar asasi.

Menurut Ahli Jawatankuasa MUBARAK Johor, Datuk Adam Abdul Hamid, langkah ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan kebajikan pelajar terjamin sekali gus meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.
“Langkah ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pendidikan anak Johor dan akan menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti serta berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru agar penekanan khusus diberikan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memperkasa kolej komuniti di seluruh Johor.
Katanya, sudah tiba masanya Johor memperkasa TVET agar mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selari dengan keperluan semasa, terutamanya dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau turut menegaskan bahawa anak-anak Johor perlu diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan dan latihan berkaitan JS-SEZ berbanding pengambilan tenaga kerja dari luar negeri.

“MUBARAK Johor mencadangkan agar Johor Talent Development Council (JTDC) dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memainkan peranan lebih aktif dengan bekerjasama bersama tenaga pakar dalam menyediakan latihan dan perkongsian kepakaran kepada belia negeri.
“Langkah ini penting supaya kemahiran dan pengetahuan tinggi dibawa masuk ke Johor, seterusnya memperkukuh keupayaan generasi muda untuk bersaing dan merebut peluang ekonomi yang terbuka luas,” tambah beliau.
Adam yang juga Naib Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor menegaskan bahawa MUBARAK Johor akan terus memberi sokongan penuh kepada dasar serta usaha Kerajaan Negeri yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
“Komitmen MUBARAK adalah jelas iaitu untuk bersama-sama memastikan aspek pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan generasi muda terus menjadi agenda utama dalam pembangunan negeri Johor,” katanya. – UMNO Online
