ITCC Penampang Bukan Hab Teknologi Seperti Dijanjikan – Gadzali
KOTA KINABALU, 12 Sept – International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang yang pada asalnya dijanjikan sebagai mercu tanda digital Sabah kini hanya berfungsi sebagai sebuah pusat membeli-belah, hotel dan menara pejabat, jauh daripada aspirasi asal untuk menjadi hab teknologi negeri ini.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Lahad Datu, Muhamad Gadzali Said, berkata ITCC Penampang sepatutnya menjadi pemangkin pertumbuhan industri ICT di Sabah, termasuk pusat inkubator animasi, permainan video dan hab teknologi setara dengan Multimedia Super Corridor (MSC) di Semenanjung.

“Pada peringkat awal, projek ini dilihat cukup meyakinkan sehingga kerajaan Persekutuan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri menyalurkan Dana Pemudahcara sebanyak RM19.95 juta kepada pemaju dengan alasan ia akan menjadi titik lonjakan pembangunan digital di Sabah.
“Namun, setelah hampir sedekad, apa yang berdiri di Penampang bukanlah hab teknologi, tetapi sebuah pusat komersial. Aspirasi MSC, insentif teknologi, anchor tenant digital serta pembangunan bakat ICT semuanya ghaib daripada pandangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mempersoalkan sama ada RM19.95 juta dana awam yang disalurkan benar-benar memberi pulangan kepada pembangunan digital negeri atau sekadar meningkatkan nilai hartanah dan keuntungan swasta.
“ITCC yang sepatutnya menjadi pintu masuk Sabah ke ekonomi digital akhirnya hanya berfungsi sebagai pusat membeli-belah biasa. Ia bukanlah pusat MSC, bukanlah hab teknologi, dan bukanlah pemangkin ICT seperti dijanjikan,” katanya.
Menurut beliau, rakyat Sabah berhak bertanya siapa sebenarnya mendapat manfaat daripada projek yang dipromosikan sebagai “koridor siber” itu.
“Kerana pada akhirnya, ITCC Penampang tidak lebih daripada mercu tanda pembangunan yang teralih. Ini menjadi peringatan bahawa setiap dana awam yang disalurkan atas nama aspirasi digital mesti diteliti semula, agar tidak sekali lagi berubah menjadi sekadar konkrit, keluli dan deretan kedai,” tegasnya lagi. – UMNO Online
