Peruntukan Besar Johor Bukti Prihatin Rakyat – Najib Samuri

JOHOR BAHRU, 12 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor yang mengumumkan sebanyak 42 inisiatif baharu dengan peruntukan RM209 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan semasa Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15, apabila beliau bertanyakan langkah kerajaan negeri dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup.

“Pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15 hari inj, saya sempat bertanyakan soalan berkenaan apakah langkah yang diambil kerajaan negeri bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat serta bagaimana peningkatan hasil negeri digunakan bagi menjamin kesejahteraan bangsa Johor seluruhannya.

“Alhamdulillah, melalui jawapan balas Datuk Onn Hafiz  Ghazi, Menteri Besar Johor, kerajaan negeri telah mengumumkan 42 inisiatif baharu dengan peruntukan sebanyak RM209 juta,” katanya kepada UMNO-Online.

Najib seterusnya menjelaskan, peruntukan besar itu memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, anak muda khususnya mahasiswa, ibu bapa, usahawan serta penjaja kecil.

“Semoga dengan peruntukan ini, ia benar-benar dapat meringankan beban rakyat dan menjamin kesejahteraan bangsa Johor seluruhnya,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO