Azalina Tekankan Kekuatan Akar Umbi Kunci Kekuatan UMNO
PUTRAJAYA, 11 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini menegaskan kekuatan akar umbi perlu dikekalkan bagi memastikan kejayaan parti khususnya UMNO Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Dalam pertemuan bersama Pemuda dan Puteri UMNO Johor petang tadi, Azalina berkongsi pelbagai perkara dan input termasuklah cabaran semasa politik yang dipengaruhi oleh media sosial serta pelbagai faktor lain.
“Rakyat hari ini banyak terdedah dengan maklumat di media sosial. Sebab itu Pemuda dan Puteri perlu bergerak dengan lebih tersusun serta berkhidmat sebaiknya kepada masyarakat,” katanya.
Pertemuan itu dihadiri Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros serta barisan kepimpinan Pemuda UMNO bahagian yang lain serta kepimpinan Puteri UMNO Negeri yang diketuai, Rina Farhana Abdullah.
Menurut Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), UMNO Johor perlu memastikan semangat kerja akar umbi dikekalkan kerana ia menjadi tunjang kepada kejayaan parti.
“Kalau mahu menang, buatlah cara nak menang… insya-Allah parti akan terus mendapat kepercayaan rakyat,” tegas Azalina.- UMNO Online
