UMNO Kota Kinabalu Terus Prihatin, Hulur Sumbangan Bantu Anak Ahli Sambung Pengajian

KOTA KINABALU, 11 Sept – UMNO sentiasa menekankan bahawa pendidikan merupakan kunci utama dalam membina masa depan yang lebih cerah, bukan sahaja untuk keluarga tetapi juga untuk masyarakat serta negara.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin menegaskan bahawa UMNO konsisten dalam memberi sokongan kepada anak-anak muda yang melangkah ke menara gading sebagai pelapis kepimpinan bangsa pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada dua anak ahli UMNO Bahagian Kota Kinabalu yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam baru-baru ini.

“Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan menyerahkan sedikit sumbangan kepada adik Syahieradham Raiman yang akan menyambung pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana serta adik Mohammad Helmi Haiqal Zukllkifly yang diterima masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kedua-dua mereka adalah anak kepada ahli UMNO Bahagian Kota Kinabalu, dan sumbangan kecil ini diharap dapat membantu meringankan persiapan mereka dari segi keperluan awal untuk memasuki alam universiti,” katanya.

Musliati turut merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua ibu bapa pelajar tersebut yang berjaya mendidik dan membimbing anak-anak mereka sehingga memperoleh kejayaan membanggakan.

“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah turut menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain agar terus berusaha dalam pelajaran kerana pendidikan adalah senjata paling berharga untuk mengubah kehidupan,” ujarnya.

Turut hadir sama dalam majlis ringkas tersebut ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Insan Muslimin serta Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Affaniezan yang bersama-sama memberikan sokongan moral kepada kedua-dua pelajar terbabit.

Terdahulu Musliati juga telah menyerahkan sumbangan kewangan kepada Daniel Aizhat yang akan melanjutkan Pelajaran ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada sesi pembelajaran yang bakal bermula tidak lama lagi.

Menurut Musliati lagi, usaha UMNO Kota Kinabalu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen parti dalam mendekati masyarakat dan memastikan perjuangan UMNO tidak terpisah daripada denyut nadi rakyat.

“UMNO akan terus menjadi wadah yang membela rakyat dan membantu generasi muda kerana merekalah bakal menjadi pemimpin masa depan. Kita mahu anak-anak ini bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi juga membesar dengan jati diri serta semangat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO percaya bahawa melabur dalam pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang mampu menjamin kemajuan keluarga dan masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO