Jangan Perkecil Jasa UMNO/BN Sabah, Lihat Pada Fakta – Sharif Musa
LAHAD DATU, 11 Sept – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menempelak kenyataan Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo yang didakwanya cuba memperkecilkan jasa Barisan Nasional (BN) di Sabah.
Beliau menyifatkan kenyataan George Teo itu sebagai “basi” dan tidak berpijak pada fakta sejarah kerana UMNO dan BN terbukti menjadi pencetus kepada pelbagai pembangunan di negeri itu sejak sekian lama.

“Inilah masa untuk membuka mata dan menajamkan minda demi masa depan rakyat Sabah. Dari polemik politik yang tidak berkesudahan, pandemik politik sehinggalah kepada cabaran ekonomi dan sosial, rakyat terus terhimpit.
“Lebih menyedihkan apabila kerajaan negeri hari ini sekadar berucap ketika perasmian pecah tanah dan pelancaran projek baharu, tetapi jalan raya, bekalan air dan elektrik masih hancur,” katanya kepada UMNO Online.
Sharif Musa berkata, UMNO/BN tidak pernah menuntut pengiktirafan secara berlebihan kerana jasa mereka sudah terpahat dalam hati rakyat Sabah.
Namun beliau kesal apabila ada pihak lawan yang cuba ‘menuai hasil’ daripada pembangunan yang telah dilakukan oleh UMNO/BN.
Beliau turut mengingatkan George Teo mengenai tawaran besar BN kepada rakyat menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
“Sebagai contoh, BN pernah mengumumkan kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga 100 peratus. Isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sebelum ini menerima RM400 dinaikkan kepada RM800, manakala penerima RM1,200 dinaikkan kepada RM2,000.
“Itu bukti nyata BN sentiasa mendahulukan rakyat. Jika tahun 2018 sudah mampu beri RM2,000, cuba bayangkan berapa rakyat akan dapat sekiranya UMNO/BN kembali diberi mandat pada tahun 2025,” ujarnya.
Katanya, rakyat Sabah sudah cukup menderita dengan masalah pentadbiran semasa dan hanya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menjadi peluang terbaik untuk mengembalikan keyakinan kepada UMNO/BN. – UMNO Online
