Kerajaan Madani Lakar Sejarah Penting… Pisah Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Kerajaan Madani melakar sejarah penting dalam agenda reformasi institusi di Malaysia apabila kabinet telah bersetuju untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah hadir ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

“Hadir ke Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Perdana Putra yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri kabinet dan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Kerajaan Madani hari ini telah melakar satu lagi sejarah penting dalam agenda reformasi institusi di Malaysia apabila kabinet bersetuju untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Ini adalah dalam usaha berterusan ke arah meningkatkan integriti dan tatakelola baik selain memperkukuh kedaulatan undang-undang. Penghargaan saya kepada PMX yang menjadikan perkara ini realiti yang tidak pernah dapat dicapai sebelumnya.
“Pada sebelah petangnya pula saya menghadiri Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri yang turut dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri juga di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya,” katanya.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan. Keputusan ini diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh YB Menteri.
Bagi tujuan ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagimewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan. Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].
Langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani, bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. – UMNO Online
