KPT Komited Pastikan Lebih Ramai Anak Tempatan Dapat Menyambung Pengajian di IPTA

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan komitmen berterusan untuk membantu dan memastikan lebih ramai anak-anak tempatan berpeluang menyambung pengajian di universiti awam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, KPT sentiasa terbuka menerima sebarang idea penambahbaikan bagi memperkukuh sistem pengambilan pelajar, selain memastikan proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berjalan dengan telus dan mesra rakyat.

“Alhamdulillah, selepas tiga hari kaunter konsultasi UPUOnline dibuka, kita menerima ramai pengunjung yang hadir membuat rayuan dan mendapatkan khidmat nasihat.

“Ada yang datang bersama ibu bapa, adik-beradik mahupun rakan-rakan. Semua dilayan dengan baik dan diberi makluman jelas oleh pegawai bertugas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menyantuni mereka yang datang ke kaunter konsultasi disediakan oleh pihak UPUOnline.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menegaskan, usaha KPT bukan sahaja tertumpu kepada memberi peluang kepada pelajar yang tidak mendapat pilihan utama, tetapi juga kepada mereka yang ingin mendapatkan panduan agar dapat membuat keputusan tepat tentang masa depan pengajian mereka. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO