Lindung Hak Orang Asli: Pindaan Akta 134 Akan Tampil Lebih Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pindaan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] akan tampil lebih menyeluruh dalam memperkukuhkan perlindungan hak dan kedudukan Orang Asli dalam arus pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah mempengerusikan Sesi Libat Urus bersama Pihak Berkuasa Negeri bagi membincangkan konsensus cadangan pindaan Akta 134.

“Usai Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), saya terus mempengerusikan Sesi Libat Urus bersama Pihak Berkuasa Negeri bagi membincangkan konsensus cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134], khususnya berkaitan isu tanah.
“Melalui sesi ini, beberapa persetujuan telah dicapai untuk memperkukuh pengurusan tanah dan hak masyarakat Orang Asli, termasuk penambahbaikan peranan agensi berkaitan serta jaminan proses yang lebih adil dan inklusif,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, memorandum cadangan pindaan Akta 134 tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Kesinambungan daripada sesi ini, memorandum cadangan pindaan Akta 134 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibawa pula ke Mesyuarat Majlis Tanah Negara Insya-Allah pada akhir tahun ini untuk pertimbangan lanjut.
“Saya yakin, dengan konsensus yang dicapai bersama ini, pindaan Akta 134 kelak akan tampil lebih menyeluruh, inklusif dan relevan dalam memperkukuh perlindungan hak Orang Asli serta mengukuhkan kedudukan mereka dalam arus pembangunan negara. Inilah komitmen kerajaan demi masa depan masyarakat Orang Asli. Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, beliau telah menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKDW.
“Saya telah menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. Banyak perkara penting telah dibincangkan untuk memastikan hala tuju pentadbiran negara sentiasa teratur dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Pada sebelah petang pula, saya mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKDW. Apa jua keputusan di peringkat pusat, kita terjemahkan melalui pelaksanaan yang tersusun dan berfokus di KKDW supaya manfaatnya benar-benar sampai ke akar umbi desa.
“Moga segala usaha ini dipermudah dan diberkati Allah SWT, serta memberi natijah terbaik untuk rakyat dan tanah air tercinta. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
