TVET Laluan Masa Depan, Buka Peluang Kerjaya Berimpak Tinggi – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional TVET kini terbukti sebagai laluan masa depan yang mampu menjanjikan kerjaya berimpak tinggi kepada generasi muda Malaysia.

Demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii selepas bersama dalam Majlis Apresiasi dan Pelepasan Peserta Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) – MITRA yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Katanya, majlis tersebut menjadi bukti jelas komitmen kerajaan dalam memperkukuh TVET.

“Kerajaan turut menyalurkan dana tambahan RM3 juta melalui MITRA bagi memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa membebankan keluarga peserta,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh.

Jelasnya, sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut mengumumkan tambahan 500 kuota lagi untuk komuniti India mengikuti program MCYTT, menjadikan jumlah keseluruhan peluang lebih besar dan inklusif.

“Daripada 5,125 kuota yang diperoleh hasil lawatan YAB TPM ke China, sebanyak 500 kuota telah dikhususkan untuk belia kaum India. Kerajaan turut menyalurkan dana tambahan RM 3 juta melalui MITRA bagi memastikan peluang ini dimanfaatkan tanpa membebankan keluarga.”

Pada majlis tersebut, seramai 147 peserta diraikan sebelum berlepas ke China bulan ini disusuli 178 peserta lagi pada Oktober dan November serta lebih membanggakan, dua universiti di China turut menawarkan biasiswa penuh dalam bidang logistik, automasi elektrik dan automotif.

“TVET bukan lagi pilihan sampingan, tetapi adalah game changer negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang yakin diri dan mampu bersaing di pentas dunia,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO