PTPTN Komited Bantu Pelajar Lanjut Pengajian, Sokong Usaha KPT Perluas Akses Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menzahirkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dalam keputusan permohonan UPU baru-baru ini. Seiring dengan kejayaan tersebut, PTPTN menerima banyak permohonan pinjaman pendidikan daripada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata PTPTN kekal komited untuk membantu pelajar agar tidak terbeban dengan kekangan kewangan, seiring dengan hasrat kerajaan memperluas akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama PTPTN akan terus memberikan perhatian serta penjelasan sewajarnya demi memastikan proses pengambilan pelajar dilaksanakan secara telus dan adil. Ini termasuk kes melibatkan adik Edward Wong Yi Xian, pelajar STPM yang tidak menerima tawaran ke Universiti Malaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, dalam proses pemilihan pelajar, bukan sahaja keputusan akademik menjadi penilaian, tetapi turut diambil kira kesesuaian subjek yang dipelajari dengan kursus serta kapasiti tempat di universiti.

Beliau menambah, dengan jumlah pelajar cemerlang yang semakin ramai, kekangan tempat di institusi awam kadangkala berlaku.

Oleh itu, katanya, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) turut memainkan peranan penting bagi memastikan lebih ramai pelajar layak berpeluang melanjutkan pengajian, dengan PTPTN sentiasa bersedia membantu melalui kemudahan pinjaman pendidikan.

“Saya yakin KPT melaksanakan proses pengambilan pelajar secara adil dan telus. Di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, KPT telah menunjukkan prestasi terbaik dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara yang inklusif dan mampan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO