Pencalonan Muhyiddin Sebagai Calon PM, Tutup Peluang Azmin, Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri menutup ruang kepada pemimpin lain dalam PPBM untuk berada dalam posisi tersebut.

Menurut beliau ini termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Dari dulu lagi dia fikir hendak jadi Perdana Menteri dan tidak fikir orang lain, maknanya memang tidak ada peluang Hamzah atau Azmin selagi ada Mahyuddin… jangan harap mereka berdua hendak jadi presiden atau calon Perdana Menteri.

“Sebab Mahyuddin ini kita tahu dari dahulu pun masa zaman Najib pun dia minta Najib letak jawatan supaya dia boleh pimpin negara tapi bila ada peluang dia pun PM gagal

“Walaupun sudah ada desakan dan pergaduhan yang berlaku minta dia letak jawatan masih dia hendak kekalkan sebagai calon Perdana Menteri.

“Hamzah, Azmin boleh bermimpi di siang hari selagi ada Muhyuddin,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mengulas lanjut kata beliau langkah menamakan semula Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri berpotensi mencetuskan pergeseran dalam kalangan parti komponen gabungan itu, khususnya antara Pas dan PPBM.

Katanya ini kerana kekuatan sebenar PN dalam beberapa kerusi semasa pilihan raya umum lalu banyak bergantung kepada sokongan padu yang diberikan oleh Pas kepada PPBM.

“Saya nampak akan memberi masalah kerana antara dalam PN ini Pas yang memberi impak kuat dan sokongan jitu dalam kemenangan beberapa kerusi PPBM pada pilihan raya yang lepas.

“Jadi saya lihat ia sebagai fenomena atau bermulanya perpecahan antara Pas dan PPBM kerana Pas juga akan meletakkan calon Perdana Menteri,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO