Universiti Al-Quran: Cetusan Idea Najib Diangkat, Dilaksanakan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penubuhan Universiti Al-Quran pertama di negara ini adalah merupakan cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) memaklumkan bahawa Universiti Al-Quran tersebut akan dilaksanakan di Negeri Pahang Darul Makmur yang dinaungi oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Alhamdulilah, saya rasa amat bersyukur apabila membaca berita berkenaan dengan penubuhan Universiti Al-Quran yang pertama di Malaysia bahkan tidak keterlaluan untuk saya mengatakan pertama di dunia.

“Ia akan dilaksanakan di Negeri Pahang Darul Makmur di bawah kerajaan yang dinaungi oleh Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Idea ini pada peringkat awalnya dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2018 lagi apabila beliau menggagaskan Dasar Tahfiz Negara untuk melahirkan 125,000 huffaz professional menjelang tahun 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya.

Ujarnya, cadangan tersebut telah dijadikan sebagai manifesto untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 namun Barisan Nasional (BN) gagal menubuhkan kerajaan pada ketika itu.

“Tetapi apa yang lebih mustahak, beliau mencadangkan supaya ia dimasukkan dalam manifesto BN untuk menghadapi PRU ke-14 pada waktu itu. BN tidak berjaya menubuhkan kerajaan. Tetapi alhamdulilah, hari ini kerajaan Menteri Besar BN sendiri yang merealisasikan hasrat ini di Negeri Pahang.

“Dasar Tahfiz Negara yang hari ini diteruskan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia akan dapat kita realisasikan dan diberkati oleh Allah SWT.

“Menjunjung kasih ke bawah Duli Paduka Sultan Pahang Darul Makmur, moga-moga diberkati oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Pada 2018 media melaporkan Penubuhan sebuah Universiti Al-Quran untuk melahirkan lebih ramai graduan hufaz turut dimasukkan sebagai janji kerajaan dalam BN menjelang PRU ke-14.

Menerusi universiti itu, graduan hufaz yang dilahirkan bukan setakat mempunyai kepakaran menghafal al-Quran tetapi juga lengkap dengan kepakaran dalam bidang profesional yang lain.

Selain itu, BN juga menyasarkan untuk melahirkan 125,000 hufaz yang mempunyai kelayakan dalam bidang profesional seperti sains, matematik dan kejuruteraan manakala sekolah tahfiz akan dilengkapkan dengan sistem latihan kemahiran GiatMARA.

Menerusi manifesto itu, BN menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipelihara tanpa menjejaskan hak dan kebebasan agama lain untuk terus dianuti dan dilindungi oleh kerajaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO