Isyarat 120 Ketua Bahagian Bukti Jelas Kepimpinan Muhyiddin Ditolak

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Laporan mengenai tindakan 120 Ketua Bahagian PPBM menandatangani akuan bersumpah (SD) supaya Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur menjadi bukti jelas bahawa kepimpinannya ditolak dari dalam.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil berkata, era Muhyiddin dijulang sebagai penyelamat rakyat pada zaman COVID-19 telah berakhir.

“Dulu Muhyiddin dijulang sebagai ‘Abah Prihatin’, kononnya penyelamat rakyat di waktu pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Tetapi masa sudah berubah.

“Hari ini, bukan rakyat yang menolak malah ahli PPBM sendiri bangkit mendesak agar beliau berundur. Isyarat daripada 120 Ketua Bahagian bukan lagi amaran kecil, tetapi bukti jelas bahawa kepimpinannya semakin ditolak dari dalam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ujarnya, perebutan kuasa dan perpecahan dalaman akan membuatkan PPBM bakal menjadi ‘bahan sejarah’.

“Realitinya, kem Muhyiddin sedang karam. Kapal yang dulunya gah mengemudi gelombang politik kini bocor di sana-sini. Namun nahkodanya masih enggan turun.

“PPBM yang asalnya parti kecil menumpang pengaruh, kini berlagak seperti dominan. Tetapi hakikatnya menumpang kekuatan parti lain.

“Perebutan kuasa dan perpecahan dalaman membuatkan PPBM bakal menjadi bahan sejarah. Parti yang tanpa arah, hilang pengaruh dan akhirnya lenyap ditelan arus politik,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan 120 Ketua bahagian Bersatu itu telah menandatangani SD menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi yang mengakui SD itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Terdahulu kekecohan itu tercetus pada minggu lalu ketika bekas Perdana Menteri itu mendedahkan terdapat beberapa anggota dalam partinya sedang mengumpul tandatangan dalam usaha untuk menggulingkannya, menyebabkan beberapa hadirin menggesa beliau meletak jawatan.

Seseorang kemudian kedengaran menjerit, ‘tidak benar, Tan Sri’, sebelum sekumpulan kecil perwakilan pula melaungkan ‘turun, turun’ sebagai gesaan menyeru beliau melepaskan jawatannya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO