UMNO Wilayah Persekutuan Pastikan RUU PSB Inklusif, Berpaksikan Rakyat
KUALA LUMPUR, 9 Sept – UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan komitmennya untuk memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) dilaksanakan dengan lebih adil, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman berkata, melalui pimpinan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta seluruh jawatankuasa, bertekad memperjuangkan suara rakyat dalam perbincangan berhubung RUU berkenaan.
“UMNO Wilayah Persekutuan berharap hasil akta RUU PSB akan mencerminkan nilai keadilan, keterbukaan, dan menjaga tuan tanah serta komuniti bandar lama agar tidak dipinggirkan dalam agenda pembangunan.
“Lebih adil pada semua pihak diberi peluang untuk bersuara, terutama golongan yang berisiko terpinggir. Ia lebih inklusif, mengambil kira hak warisan, penglibatan komuniti serta perlindungan institusi tradisional seperti peranan Raja-Raja dan tanah rizab Melayu.
“Tidak menyusahkan rakyat bawahan dengan memastikan proses persetujuan dan pampasan dibuat secara berpandangan wajar dan tidak memaksa. Ditangani melalui perbincangan menyeluruh, konvensyen seperti Konvensyen Melayu Bandar hujung September ini akan menjadi medan penyampaian suara akar umbi, penyertaan badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan wakil rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, kata Abdul Razak lagi, inisiatif ini adalah bukti kesungguhan parti dalam memperjuangkan proses penggubalan undang-undang yang lebih menyeluruh.
“Inisiatif ini adalah manifestasi nyata komitmen parti terhadap proses penggubalan undang-undang yang inklusif dan adil.
“Kita faham bahawa RUU PSB sangat penting, bertujuan meremajakan kawasan perumahan usang demi kesejahteraan rakyat. Namun, dalam usaha tersebut, kebimbangan rakyat perlu diambil kira secara serius,” jelasnya.
Terdahulu, UMNO telah mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU PSB.
Pasukan Khas tersebut bertanggungjawab untuk meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
Untuk rekod, pada 28 Ogos lalu, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara mahu RUU PSB ditangguhkan bagi tujuan penambahbaikan dan menimbulkan kebimbangan serta beberapa pandangan yang perlu diperhalusi. – UMNO Online
